Parti Komunis Malaya
Keganasan komunis dan darurat yang berlaku dari tahun 1948-1960 tidak dapat dipisahkan daripada pengkajian dan penghayatan dalam memahami perkembangan negara kita Malaysia.
Latar Belakang Awal
Masyarakat Cina yang tinggal di Tanah Melayu amat prihatin dan sensitif terhadap apa yang berlaku di tanah besar China. Keadaan sedemikian berlaku kerana ramai yang berpendirian bahawa Tanah Melayu hanya sebagai tempat sementara untuk mencari rezeki dan kuatnya ikatan hubungan kekeluargaan dengan tanah air mereka. Hal ini juga disebabkan oleh proses migrasi yang berterusan menyebabkan ramai dari kalangan mereka yang baru datang menyebarkan berita atau memberi pandangan apa yang sedang berlaku di sana. Dengan itu, apa yang berlaku di tanah besar China menarik perhatian mereka yang tinggal di sini dan sering pula menjadi ikutan.
Kemunculan ideologi dan pengaruh komunis di Tanah Melayu dapat di kesan pada tahun 1921 atau 1922. Sebelum ini, pengaruh nasionalis Parti Kuomintang (KMT) pimpinan Dr. Sun Yat Sen telah bertapak sejak tahun 1911 serentak dengan kejayaan membentuk sebuah republik di China. KMT telah mewujudkan cawangan-cawangan partinya. Lebih awal dari itu, masyarakat Cina telahpun mempunyai kesedaran politik dan cita-cita revolusioner melalui Persatuan Kemuafakatan Pusat (Chung Ho Tang) yang ditubuhkan pada 1904 di Tanah Melayu dan Singapura. Pada tahun 1906, Dr. Sun Yat Sen sendiri pula menubuhkan Persatuan Perikatan (Tung Meng Huim) yang mempunyai matlamat yang sama.
Kemunculan awal ideologi komunis dapat dikesan melalui beberapa penerbitan komunis dalam bahasa Cina yang tersebar, antaranya ialah :
(a) Berita mengenai negeri China dan Rusia yang dihantar terus dari Canton.
(b) Berita propaganda mengenai buruh dan wanita yang diterbitkan di Canton.
(c) Risalah kaedah mengajar ideologi komunis di Rusia dan China serta manifesto Parti Komunis Amerika.
(d Buku bertajuk “Komunis dan Negara China” karangan Tsz Yan
(e) Risalah komunis yang bertajuk “Parintis” (Pioneer).
Bahan bacaan ini hanya sebagai bukti terhadap adanya penyebaran ideologi komunis. Namun dari segi sokongan dan pengaruhnya masih boleh diperdebatkan. Ini kerana sehingga tahun 1924 belum ada usaha dari Parti Komunis China (PKC) untuk mengembangkan sayap ke sini. PKC mula menjalin hubungan dengan masyarakat Cina di Tanah Melayu pada 1925 melalui usaha Alimin dan Tan Melaka. Mereka ialah dua orang tokoh utama Parti Komunis Indonesia yang telah mendesak PKC supaya menghantar wakil dan mengembangkan ideologi komunis di kalangan puak yang radikal dan revolusioner. Usaha mereka terbatas kepada orang Cina sahaja setelah orang Melayu tidak menunjukkan minat untuk turut serta.
Pada peringkat awal, Singapura dijadikan
pangkalan penyebaran pengaruh. Parti Komunis Nanyang (South
Seas Communist Party – PKN) yang
ditubuhkan di Singapura ditugaskan untuk mengawasi dan menyelaras perkembangan
komunis di Asia Tenggara (kecuali Burma). Ahli-ahlinya terdiri
daripada kalangan pihak sayap kiri yang menganggotai KMT. Bagi menggerakkan organisasi, PKN mempunyai dua
badan massa iaitu Kesatuan Sekerja Umum Nanyang (Nanyang General Labour Union)
dan Liga Belia Komunis (Communist Youth League). Melalui kedua-dua badan ini, komunis telah dapat
meresap masuk ke dalam pertubuhan
pekerja dan juga belia. Akibatnya kesatuan sekerja telah lantang dan sering berbalah dengan pihak pengurusan atas alasan eksploitasi
buruh. Justeru itu, sering berlaku siri-siri pemogokan yang sesetengahnya berakhir dengan pertempuran dengan pihak polis. Kejadian sebegini banyak berlaku pada
tahun 1927 dan 1928. Sebagai tindak balas, selepas peristiwa rusuhan yang
dikenali “Peristiwa Kereta” Air pada
Mac 1928 di Singapura, kerajaan telah mengharamkan Kesatuan Sekerja Umum Nanyang dan ramai pemimpinnya ditahan atau dihantar
pulang ke China. Di sana mereka menerima tekanan pula oleh pihak KMT. Di samping itu, kerajaan juga membuat
tangkapan atau tekanan terhadap
penyokong dan pihak yang disyaki anggota komunis atau penyokongnya.